GRAB RAIKAN PERJALANAN YANG KE-1 BILION


Grab Inc. (“Grab”), penyedia perkhidmatan e-hailing pilihan utama di Asia Tenggara hari ini mengumumkan bahawa ia telah melengkapkan 1 bilion perjalanan di seluruh Asia Tenggara

Grab telah mencatat perjalanan 1 bilion pada 26 Oktober 2017 dengan 66 perjalanan berlaku serentak dalam satu saat di tujuh pasarannya di Asia Tenggara: Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam dan Myanmar.

Pertumbuhan perjalanan meningkat secara memecut dalam tahun ini jelas menunjukkan bahawa pengangkutan berdasarkan kepada permintaan menawarkan potensi yang sangat besar di Asia Tenggara. Ia juga membuktikan pendekatan bersifat tempatan, multi-modal dan teknologi bertaraf dunia Grab membolehkannya mencatat permintaan yang kian meningkat ini. 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Anthony Tan berkata, “Pencapaian ini adalah bukti kukuh terhadap kekuatan perniagaan Grab dan pasukan pengurusan kami. Kami berjaya meningkatkan saiz perniagaan dengan dramatik dalam masa yang begitu singkat. Bukan sahaja mengekalkan kualiti perkhidmatan yang terbaik, malah menambah baik dengan terus menginovasikan perniagaan, menyelesaikan masalah setempat dan mengubah kehidupan menerusi teknologi. Saya sangat berterima kasih kepada rakan-rakan pemandu, penumpang, para pelabur serta rakan niaga atas segala sokongan mereka. Tidak dilupakan pasukan hebat Grab yang berjaya menguruskan penskalaan besar ini dengan begitu baik bersama-sama.”

“Ketika kami maju ke hadapan untuk perjalanan ke-1 bilion yang seterusnya, kami juga semakin fokus. Kami harap dapat menawarkan pengalaman pengangkutan yang terbaik kepada semua rakan pemandu dan pelanggan. Pada masa yang sama, kami mengambil langkah penting dalam aspek pembayaran mudah alih, sekali gus membuatkan GrabPay bukan sekadar satu bentuk pengangkutan, malah menjadikan digital dan kewangan boleh diakses oleh semua orang di rantau Asia Tenggara. Kami tidak sabar untuk mencatat transaksi billion dalam GrabPay tidak lama lagi. 

Pencapaian 1 bilion itu sebenarnya didorong oleh kerja-kerja naik taraf utama ke atas aspek R&D Grab dan keupayaan teknologinya kerana platform ini perlu diperluaskan dengan pantas demi memenuhi permintaan yang kian meningkat daripada pemandu dan penumpang. Baru-baru ini, syarikat mengumumkan pelantikan Theo Vassilakis selaku Ketua Pegawai Teknologi. Pada awal tahun 2017, Grab telah menggandakan jumlah pusat R&D daripada tiga kepada enam dengan menambah pusat-pusat baharu di Bangalore, India, Ho Chi Minh City, Vietnam dan Jakarta, Indonesia.

Grab menawarkan servis pengangkutan kereta, motosikal, teksi dan perkongsian kenderaan di 142 buah bandar di Asia Tenggara dengan satu daripada setiap tiga orang penumpang menggunakan pelbagai perkhidmatan. Perkongsian pasaran Grab sekarang dalam perkhidmatan panggilan teksi pihak ketiga adalah sebanyak 95% dan 72% dalam panggilan kenderaan peribadi. Ia memiliki jumlah pengangkutan darat paling besar di Asia Tenggara dengan lebih 2.0 juta pemandu memperoleh pendapatan 55% lebih banyak berbanding purata bayaran gaji setiap jam dalam platformnya. Grab juga merupakan platform mudah alih paling kerap digunakan di rantau ini dengan lebih 3.5 juta perjalanan setiap hari. Manakala aplikasi Grab pula telah dimuat turun ke dalam lebih 68 juta peranti mudah alih. Menurut firma penyelidikan pasaran global TNS, Grab ialah jenama yang paling kerap digunakan di Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam, berbanding aplikasi panggilan kenderaan dan tempahan teksi yang lain. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.grab.com/my/blog/youre-one-in-a-billion/


Tentang Grab

Grab adalah platform permintaan pengangkutan dan pembayaran mudah alih terkemuka di Asia Tenggara. Grab menyelesaikan cabaran pengangkutan yang kritikal dengan merealisasikan kebebasan pengangkutan bagi 620 juta penduduk Asia Tenggara. Terdapat dua produk utama Grab, iaitu platform penyelesaian kenderaan bagi pemandu dan penumpang yang mengutamakan kesenangan, keselamatan dan kepercayaan; dan platform pembayaran mudah alih, GrabPay, yang meningkatkan akses bagi penyelesaian pembayaran mudah alih bagi jutaan pemandu dan penumpang Grab diserata Asia Tenggara dan mengukuhkan inklusi kewangan di rantau ini. Grab kini menawarkan perkhidmatan di Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam dan Myanmar. Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.grab.com




Share:

No comments:

Post a Comment

Popular

Labels

Recent Posts